Wednesday, February 18, 2009

IMPLIKASI TEORI-TEORI PEMBELAJARAN TERHADAP PENGAJARAN PEMBELAJARAN (P&P)

Pengajaran dan Pembelajaran:
Dewasa ini, peranan pendidik dalam menyampaikan pengajaran yang bermakna kepada anak didiknya sangat dipengaruhi oleh teori pembelajaran yang menjadi asas pegangannya. Seseorang pendidik akan menggunakan kaedah pengajaran yang paling efisyen bagi menjamin berlakunya pembelajaran di kalangan murid- muridnya. Secara umunya, pengajaran ialah penyampaian maklumat dalam seting pendidikan misalnya sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi. Manakala pembelajaran pula adalah perbuatan atau pengalaman seorang pembelajar yang diperoleh melalui pendidikan[1]. Namun, dalam konteks pendidikan, pembelajaran membawa maksud perubahan tingkah laku seseorang akibat ilmu, kemahiran atau amalan yang diperoleh melalui proses pendidikan.
Teori pembelajaran boleh dibahagikan kepada lima jenis, iaitu teori pembelajaran pembelajaran behavioris, kognitif, konstruktivisme, sosial dan pendekatan humanis. Setiap jenis teori pembelajaran tersebut mempunyai prinsip dan pemfokusan yang berlainan. Malah, hujah yang dikemukakan juga banyak bergantung pada persekitaran dimana pelopor teori tersebut membesar, mendapatkan pendidikan dan budaya masyarakat setempat. Contohnya, teori behavioris yang berpecah kepada tiga cabang iaitu, teori pelaziman klasik, teori pelaziman tingkah laku dan teori pelaziman operant. Jika kita mengkaji dan memahami teori-teori tersebut, sangat jelas dan nyata, idea yang dikemukakan bergantung pada jangka masa teori tersebut diilhamkan.



Teori Behavioris:
Setiap teori pembelajaran yang dikemukakan memberi implikasi terhadap pengajaran dan pembelajaran secara tersendiri. Berdasarkan teori pembelajaran behavioris yang dipelopori oleh John Broadus Watson, Ivan Petrovich Pavlov, Edward Thorndike dan Burrhus Frederic Skinner. Dalam teori mereka, mereka memberi bebrapa fokus dalam pengukuhan, pengukuhan berjadual, shaping, penghapusan dan modifikasi tingkahlaku.
Pelaziman Klasik:
Menurut teori pelaziman klasik, cara pembelajaran yang sesuai ialah menggunakan ransangan tak terlazim dikaitkan dengan ransangan terlazim. Hal ini dibuktikan oleh Pavlov dan Watson melalui kajian yang mereka jalankan iaitu Eksperimen Little Albert dan eksperimen ke atas anjing. Eksperimen-eksperimen tersebut secara ringkasnya menekankan bahawa, peneguhan atau keselesaan kepada responden pada awalnya. Kemudian, setelah responden terbiasa dengan keadaan tersebut, penghapusan akan dijalankan.
Melalui teori yang dikemukakan oleh kedua- dua tokoh tersebut, dapatlah digunakan oleh para pendidik dalam pengajaran dan pembelajaran. Antara implikasi teori tersebut dalam P&P ialah gerak balas positif (perhatian dan penglibatan murid- murid dalam P&P) dapat dipupuk melalui pelaziman klasik. Selain daripada itu juga, ia perlu berkaitan dengan pengetahuan sedia ada murid- murid untuk memudahkan proses P&P. Contohnya, jika seorang guru ingin mengajarkan perkataan “bola” kepada murid, pastikan murid mampu menyebut perkataan tersebut terlebih dahulu apabila ditunjukkan sebiji bola kearahnya. Kemudian, tunjukkan kad perkataan bola disertakan dengan sebiji bola untuk mendapat gerak balas murid tersebut. Aktiviti tersebut diulang beberapa kali sehinggalah murid mampu menyebut perkataan buku apabila ditunjukkan kad perkataan kepadanya. Malah, guru perlu membimbing murid- murid menggunakan kemahiran generalisasi dengan tepat, dengan memberikan pelbagai contoh yang berkaitan.
Selain daripada itu juga, guru perlu memberikan latihan yang cukup untuk mengukuhkan ransangan terlazim dengan gerak balas terlazim. Contonhnya, memberikan penyelesaian masalah matematik dengan kerap kali. Seterusnya, gunakan peneguhan sekunder untuk mengekalkan gerak balas terlazim yang menunjukkan fenomena proses penghapusan iaitu gunakan ransangan baru bagi memotivasikan murid semasa aktiviti pembelajaran. Sebagai contoh, jika sebelum ini guru memberikan gula- gula, pada suatu hari guru memberikan pensel sebagai peneguhan. Malah, guru perlu membantu murid memulihkan ingatan dengan memberikan masa rehat yang cukup sehingga segala gangguan pembelajaran yang sedia ada dihilangkan.

Pelaziman Operan;
Manakala, teori pelaziman operan yang dipelopori oleh Skinner lebih menekankan kepada peneguhan diberikan selepas responden berjaya dalam sesuatu usaha atau berlakunya peningkatan positif. Melalui kajian yang dijalankan beliau terhadap tikus, dapatlah disimpulkan bahawa tingkahlaku yang disertai dengan pengukuhan akan meningkatkan kebarangkalian berlakunya tingkahlaku yang sama pada masa akan datang. Manakala peneguhan negatif yang diberi akan membawa kesan tidak menyeronokkan dan responden akan mengulangi tingkah laku operan yang diingini.
Antara implikasi teori tersebut dalam P&P ialah, sesuatu kemahiran atau teknik yang baru dipelajari hendaklah diberikan peneguhan secara berterusan dan diikuti dengan secara berkala supaya kemahiran atau teknik itu dapat dikukuh dan dikekalkan. Selain daripada itu, prinsip penghapusan melalui proses pelaziman operan adalah sesuai digunakan untuk memodifikasikan tingkah laku pelajar yang tidak diigini, misalnya menghentikan peneguhan yang diberikan dahulu, sama ada peneguhan positif atau negatif. Peneguhan negatif sesuai digunakan untuk mendapatkan tingkah laku yang diingini. Malah, guru juga perlu membantu pelajar menguasai konsep diskriminasi melalui proses pelaziman operan supaya mereka memperoleh ilmu dan kemahiran dengan tepat.

Hukum Kesan:
Teori yang dikemukakan oleh Edward Thorndike ini terdapat pertindahan untuk dikelaskan. Dalam sesetengah sumber, ia dikategorikan dalam teori pelaziman, dan sesetengahnya pula pengklasifikasikan sebagai Hukum Kesan. Thorndike menjalankan kajian ke atas kucing yang sedang lapar dibiarkan di dalam sangkar yang mempunyai penyendal untuk membuka pintu sangkar tersebut dan kucing tersebut boleh mendapatkan makanan yang berada di luarnya. Dalam teorinya, terdapat tiga jenis hukum iaitu hukum kesediaan, latihan dan kesan.
Implikasi teori Thorndike dalam P&P ialah untuk meningkatkan tahap kesediaan belajar. Pada masa yang sama, guru perlu memainkan peranan dalam menggunakan motivasi yang sesuai. Selain daripada itu, ia mampu mengukuhkan pertalian antara ransangan dan gerak balas pelajar dengan memperbanyakkan aktiviti latihan, ulangkaji, aplikasi serta pengukuhan dalam keadaan yang menyeronokkan. Guru juga perlu memberikan ganjaran atau peneguhan untuk respons atau gerak balas yang betul daripada pelajar. Antara peneguhan yang boleh digunakan ialah peneguhan social dan material. Malah, teori ini juga menekankan pemberian peluang kepada pelajar untuk menikmati kejayaan dalam pembelajaran mereka.

Teori Kognitif:
Jean Piaget merupakan individu bertanggungjawab yang telah mempelopori teori ini. Menurut beliau, perkembangan kognitif kanak-kanak adalah berbeza dan berubah melalui empat peringkat; peringkat deria motor (0-2 tahun), pra operasi (2-7 tahun), operasi konkrit (7-12 tahun) dan operasi formal (selepas 12 tahun). Teori ini juga menekankan lima konsep asas iaitu skema, adaptasi, keseimbangan, asimilasi dan akomodasi.
Teori Kognitif ini memberikan beberapa implikasi dalam proses P&P. Menurut teori tersebut, isi kandungan hendaklah disusun mengikut perkembangan kognitif kanak-kanak dan yang paling relevan adalah daripada konkrit kepada abstrak, dekat kepada jauh, pengalaman sedia ada kepada pengetahuan baru dan daripada kasar kepada halus. Contohnya, untuk mengajarkan tentang buah-buahan tempatan, mulakan dengan memberi contoh yang diketahui oleh murid- murid terlebih dahulu. Selain daripada itu, guru seharusnya berperanan sebagai fasilitator dalam proses P&P yang bertugas sebagai penyusun maklumat yang hendak disampaikan bagi memudahkan murid mengaitkan pelajaran baru dengan pelajaran lepas.
Seterusnya, guru harus sedar bahawa ada murid yang berada dalam mod pembelajaran yang berbeza dan guru perlu bijak memainkan peranan dalam menguasai proses P&P. sebagai contoh, jika terdapat murid yang tidak dapat menumpukan perhatian dalam proses pembelajaran yang berlangsung, guru perlu memikirkan cara yang efisyen bagi menarik minat mereka.
Teori Konstruktivisme:
Teori ini berlandaskan bahawa ilmu pengetahuan tidak boleh wujud di luar minda, tetapi dibina dalam minda berdasarkan pengalaman sebenar. Antara tokoh yang bertanggungjawab memperkanalkan teori ini adalah L. Vigotsky dan Jean Piaget. Melalui hujah- hujah yang dikemukakan, dapatlah disimpulkan bahawa, implikasi teori ini dalam P&P ialah peranan guru merupakan pembimbing, pemudahcara serta perancang dan pelajar memainkan peranan utama dalam aktiviti pembelajaran. Malah, pengalaman dan kesediaan pelajar adalah faktor penting yang mempengaruhi proses pembentukan ilmu baru. Ini bererti tahap isi pelajaran hendaklah sesuai dengan kebolehan pelajar. Contohnya, jika pelajar tidak mampu menguasai sesuatu topik, guru perlu mengubah pendekatan yang lebih mudah difahami oleh murid tersebut.
Selain daripada itu juga, penilaian tradisi tidak sesuai lagi digunakan dan bentuk serta alat penilaian terhadap tahap pembentukan ilmu hendaklah dibentuk oleh guru dan murid bersama- sama. Hal ini bermaksud, penilaian seperti peperiksaan dan ujian bukanlah peratusan atau kemahiran sebenar murid- murid. Guru seharusnya menyediakan penilaian lain secara berterusan bagi menentukan tahap sebenar anak didiknya.

IMPLIKASI TEORI PEMBELAJARAN KE ATAS PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN (P&P) KEPADA KANAK-KANAK BERKEPERLUAN KHAS

Teori pembelajaran yang diperkenalkan bukan sahaja memberi implikasi dalam P&P kanak-kanak normal, namun ia turut mencakupi kanak- kanak berkeperluan khas. Kanak-kanak berkeperluan khas ialah kanak-kanak yang mengalalami masalah penglihatan, pendengaran dan masalah pembelajaran[2]. Bagi guru-guru yang sudah lama berkecimpung dalam dunia khas, semestinya mereka telah memahami dan begitu arif tentang pengubahsuaian kurikulum berdasarkan kognitif dan tahap keabnormalan murid- murid. Malah, jika diteliti dan dihayati, pengajaran terhadap kanak-kanak khas juga banyak mengaplikasikan teori-teori pembelajaran yang diutarakan.

Teori Behavioris:
Dalam mengajar kanak- kanak berkeperluan khas, pengaplikasian teori ini amat tepat dengan situasinya. Jika kita melihat kepada masalah kanak-kanak khas yang kebanyakkannya tidak tahu membaca, pendekatan teori ini mampu meningkatkan sedikit ransangan mereka agar terus berminat dalam mengikuti pembelajaran. Berdasarkan teori tersebut juga, guru-guru boleh menggunakan peneguhan positif atau negatif bagi meransang murid-murid berusaha untuk meningkatkan kemahiran membaca. Seelok-eloknya, guru perlu memberi ganjaran atau hadiah kepada murid-murid yang menguasai kemahiran tersebut. Sebagai contoh, seorang guru memberikan coklat kepada muridnya yang mampu membaca huruf ‘a’ hingga ‘h’ dengan betul. Kaedah ini akan memberikan motivasi kepada kanak-kanak lain untuk mencuba dan kanak-kanak yang memperoleh peneguhan tersebut untuk terus menguasai huruf seterusnya.

Malah, berdasarkan hukum pembelajaran yang terdapat dalam teori tersebut, seseorang guru perlulah membuat persiapan sebelum mengajar. Sediakan BBM yang menarik, ransangan yang sesuai dan teknik pendekatan yang praktikal. Selain daripada itu juga, guru perlu memastikan tahap kesediaan murid. Bagi mengetahui tahap murid-murid, gunakan waktu set induksi untuk berinteraksi dan bertanyakan hal-hal umum kepada murid- murid. Contohnya, guru bertanyakan apakah yang dilakukan oleh anak muridnya yang mengalami masalah hiperaktif.
Guru perlu memberikan respon yang spesifik dan kerap. Hal ini kerana murid-murid khas sentiasa memerlukan perhatian dan respon agar mereka dapat meningkatkan tahap kelakuan kearah yang lebih positif. Respon guru dan teguran yang positif serta spesifik agar kanak-kanak yang mengalami masalah tingkah laku dapat mengetahui masalah mereka yang lari dari norma asal. Contohnya, kanak-kanak ‘down sindrom’ yang bermasalah akolalia iaitu mengulang-ulang perkataan dengan kerap, guru perlu menegur secara terus terang bahawa perlakuannya adalah diluar norma manusia normal. Respon guru tersebut, mampu mengurangkan keadaanya kepada yang lebih baik.
Selain daripada itu juga, guru perlu menggiatkan penghapusan tingkah laku yang tidak diingini. Gunakan kaedah ‘time-out’, ‘kontrak’, ‘pengasingan’, dan sebagainya dalam mengawal dan mengurangkan tingkah laku yang tidak diingini. Namun begitu, kaedah atau hukuman tersebut perlulah sesuai dengan masalah tingkah laku kanak-kanak tersebut. Jika kanak-kanak yang mengalami masalah down sindrom, kaedah ‘time out’ merupakan antara kaedah yang boleh digunakan.

Teori Kognitif:
Menurut teori kognitif, guru perlu menyediakan BBM yang berbentuk besar, maujud ataupun benda yang senang dilihat dan disentuh. Adalah lebih baik sekiranya bahan pengajaran tersebut berdasarkan pengetahuan sedia ada murid- murid dan sesuatu yang hampir dengan kanak-kanak tersebut. Manakala dalam mendidik kanak-kanak khas, guru perlu mempelbagaikan BBM kerana tahap kognitif mereka terhad. Contohnya, guru ingin mengajarkan tentang buah-buahan, guru membawa dan menunjukkan buah-buahan sebenar serta menyuruh murid menyentuh, melihat, mencium bau dan merasa buah tersebut. Pendekatan tersebut akan menjadikan murid lebih mudah mengingat apa yang dipelajari pada hari itu.
Bagi kanak-kanak yang mengalami masalah daya tumpuan yang singkat, guru perlu lebih peka dalam penyediaan rancangan pengajaran. Jika murid-murid sudah menguasai konsep terdahulu, guru tersebut perlulah meningkatkan tahap pembelajaran kepada sifat egosentrik. Kanak-kanak khas juga sebenarnya mempunyai keupayaan jika diberi pendedahan secara sistematik dan terapi yang berterusan. Sebagai contoh, jika murid sudah mampu menguasai operasi tambah dan tolak dalam subjek matematik, guru perlu mempertingkatkan pengajaran kepada operasi darab dan bahagi yang lebih mencabar. Pada masa tersebut, pemikiran mereka akan terus berkembang.
Selain daripada itu juga, kanak-kanak khas perlu diajar mengikut subjek yang telah disusun dan diperingkatkan. Pemeringkatan tersebut perlulah dari yang senang kepada susah kerana mereka sangat bermasalah dalam reseptif dan menyusun maklumat yang diterima. Apatah lagi untuk menyimpan ingatan tersebut dalam stor jangka masa panjang. Contohnya dalam mengajar operasi tambah dalam matematik, guru perlu memulakan dengan nombor yang kecil. Setelah murid-murid mampu menguasainya, barulah guru memberikan soalan yang membabitkan nombor lebih besar.
Malah, guru perlu mengubahsuai kaedah dan pendekatan P&P untuk disesuaikan dengan keadaan murid-murid khas tersebut. Contohnya, jika seorang guru ingin mengajarkan murid-murid yang dikategorikan sebagai autisme, kaedah pengajaran tersebut perlulah menekankan komunikasi dan interaksi terutamanya yang melibatkan ‘eye contact’. Perbanyakkan interaksi dua hala dan soalan yang mampu dijawab serta menarik minatnya untuk terus meningkatkan tahap komunikasi. Kaedah P&P yang digunakan perlulah ringkas dan berkesan kerana kanak-kanak khas tidak mampu menerima laras bahasa yang tinggi.


Teori Konstruktivisme:
Implikasi teori konstruktivisme dalam proses P&P kanak-kanak berkeperluan khas pula ialah guru perlu membina suasana P&P yang mampu membina pengetahuan murid-murid. Pastikan suasana yang dibina tidak merencatkan pengetahuan mereka. Contohnya, seorang kanak-kanak yang mengalami ‘mental retardation’ tahap ringan dan boleh dididik dibiarkan dalam kelas yang menempatkan kanak-kanak ‘mental retardation’ sederhana akan memberi kesan negatif terhadap perkembangannya. Sepatutnya, kanak-kanak tersebut perlu ditempatkan di kelas yang mampu meningkatkan daya pemikirannya.
Selain daripada itu juga, guru perlu merancang dan melaksanakan strategi-strategi pengajaran seperti soalan terbuka dan dialog bersama murid- murid. Kaedah ini akan membantu peningkatan tahap komunikasi. Komunikasi merupakan item terpenting dalam membina kemahiran menganalisis, mentafsir dan meramal maklumat. Contohnya, semasa set induksi sesi P&P guru bertanyakan khabar dan mengenai hobi seorang kanak-kanak autisme sebelum memulakan pembelajaran bertemakan hobi pada hari tersebut. Selain daripada itu juga, guru boleh menggunakan kaedah dialog bersama rakan sekelas untuk membantu kanak-kanak khas meningkatkan tahap interpersonal. Perancangan guru yang sistematik dan fleksibel boleh digunakan oleh guru tersebut dalam menagani pelbagai karenah murid.
Implikasi seterusnya adalah guru menggunakan Rancangan Pendidikan Individu (RPI) sebagai untuk menganalisis perkembangan dan kemajuan murid dari semasa ke semasa. Seperti yang diketahui umum, kanak-kanak khas tidak mengambil peperiksaan umum kecuali mereka yang mengikuti kelas inklusif dengan kelas normal. RPI yang digunakan merupakan kolaborasi pelbagai disiplin. Jadi, perkembangan dan kemajuan yang dianalisis merupakan peningkatan dari pelbagai aspek. Contohnya, jika seorang murid yang mengalami masalah tingkah laku, perubahannya diperhatikan oleh semua pihak yang terlibat dan terapi diberikan dari pelbagai aspek. Keadaan dan perkembangannya dicatat dari semasa ke semasa. Apa yang menjadi fokus keutamaan adalah proses perubahannya, bukanlah hasil terakhir. Hal ini kerana setiap individu mempunyai kebolehan dan kelemahan yang pelbagai.


[1] Kamus Webster.
[2] Akta Murid-Murid 1961

11 comments:

  1. terima kasih

    www.pendidikankhas.com

    ReplyDelete
  2. tq sis. sangat mmbantu otak yg tgh blurr....

    ReplyDelete
  3. ok juga informasi ni.bagi yg mLas nK Bc MODUL

    ReplyDelete
  4. Tugas berkongsi maklumat yang baik. namun saya rasa perlu dibuat rujukan bagi setiap bahan yang diambl dari mana-mana sumber.

    ReplyDelete
  5. Тут по ссылке- индивидуалки Москва м
    Скромная, обаятельная, ласковая девушка пригласит к себе или приедет к Вам. Фото полностью соответствуют! минет без презерватива и куннилингус включен в стоимость!

    ReplyDelete